Malcolm Muggeridge, seorang wartawan dan pengkritik sosial British yang ternama, percaya kepada Tuhan pada umur enam puluh tahun. Pada hari jadinya yang ketujuh puluh lima tahun, dia memberikan dua puluh lima pemerhatiannya yang bernas mengenai kehidupan. Salah satu pemerhatiannya berkata, “Saya tidak pernah melihat seorang yang kaya berasa gembira, tetapi saya jarang menemui seseorang miskin yang tidak mahu menjadi seorang yang kaya.”
Hampir semua kita bersetuju bahawa wang tidak dapat membuatkan kita bahagia. Tetapi kita suka memiliki lebih banyak wang untuk membuktikan pernyataan tersebut.
Harta Raja Salomo dianggarkan berjumlah lebih daripada dua trilion dolar Amerika Syarikat. Walaupun dia sangat kaya, dia tahu bahawa wang mempunyai batasannya. Amsal fasal 8 adalah berdasarkan pengalaman hidup dan memberikan “seruan hikmah” kepada semua orang. “Hai umat insan, kepadamulah aku berseru … Mulutku akan mengatakan kebenaran” (ayat 4-7). “Pilihlah ajaranku dan bukannya perak; pilihlah pengetahuan dan bukannya emas pilihan. Kerana hikmah lebih bernilai daripada segala permata, dan segala yang dihasratkan tidak setara dengannya” (ayat 10-11).
Hikmah berkata, “Buahku lebih baik daripada emas, bahkan melebihi emas tulen, demikian pula hasilku lebih baik berbanding dengan perak pilihan. Aku berjalan di jalan yang benar, di tengah-tengah lorong keadilan, demi mewariskan khazanah kepada kalangan yang mengasihiku, dan memenuhi perbendaharaan” (ayat 19-20).
Inilah kekayaan yang sebenar!