Pada satu hari, anak perempuan saya telah melawat kami bersama dengan anak lelakinya yang baru berumur satu tahun. Saya sedang bersiap keluar untuk membuat sedikit urusan, tetapi pada saat saya berjalan keluar dari bilik, cucu saya mula menangis. Ini berlaku sebanyak dua kali, dan setiap kali saya harus kembali serta meluangkan sedikit masa bersamanya. Ketika saya berjalan menuju ke pintu untuk kali ketiga, bibir kecilnya mula bergetar kerana mahu menangis lagi. Pada ketika itu anak perempuan saya berkata, “Bapa, bolehkah kamu membawa dia keluar bersama-sama?”

Mana-mana datuk dan nenek pasti akan memberitahu anda apa yang berlaku selepas itu. Cucu saya mengikut saya ke dalam kereta, cuma kerana saya mengasihinya.

Betapa baiknya apabila mengetahui bahawa kerinduan hati kita terhadap Tuhan juga dipenuhi dengan kasih. Alkitab meyakinkan kita bahawa kita boleh “tahu dan yakin sepenuh hati bahawa Allah mengasihi kita” (1 Yohanes 4:16). Tuhan bukan mengasihi kita kerana apa yang telah kita lakukan atau tidak lakukan. Kasih-Nya bukan berdasarkan kelayakan kita, melainkan kebaikan dan kesetiaan-Nya. Apabila dunia di sekeliling kita tidak penuh dengan kasih dan tidak baik, kita boleh bersandar kepada kasih Tuhan yang tidak berubah sebagai sumber pengharapan dan damai.

Hati Bapa kita yang di syurga telah dinyatakan kepada kita melalui pemberian Anak-Nya dan Roh-Nya. Betapa besarnya penghiburan bahawa Tuhan mengasihi kita dengan kasih yang tidak pernah berakhir!