“Wanita Babushka” merupakan salah satu misteri yang meliputi pembunuhan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy pada tahun 1963. Seorang wanita telah merakam peristiwa pembunuhan itu dengan kamera filemnya, tetapi identitinya sukar untuk dikesan. Wanita misteri yang memakai jaket dan selendang (menyerupai babushka Rusia) ini tidak pernah dikenal pasti dan filemnya tidak pernah dilihat. Selama beberapa dekad, sejarawan dan cendekiawan telah membuat spekulasi bahawa perasaan takut telah menghalang “Wanita Babushka” tersebut memberitahukan ceritanya tentang hari yang tragedi pada hari dalam bulan November itu.
Tiada spekulasi diperlukan untuk memahami sebabnya murid-murid Yesus menyembunyikan diri. Mereka menyembunyikan diri dalam ketakutan kerana pihak berkuasa telah membunuh Tuan mereka (Yohanes 20:19). Mereka tidak ingin untuk muncul dan mengisytiharkan pengalaman mereka. Tetapi Yesus bangkit dari kubur. Apabila Roh Kudus datang, anda tidak lagi dapat memaksa murid-murid Yesus yang dahulunya berada dalam ketakutan itu berdiam diri! Pada hari Pentakosta, Simon Petrus yang dikuasai oleh Roh Kudus berkata, “Oleh itu, hendaklah seluruh keturunan kaum Israel tahu dengan pastinya, bahawa Allah telah menjadikan Yesus, yang kamu salib itu, Tuhan dan Kristus” (Kisah Para Rasul 2:36).
Peluang untuk mengisytiharkan nama Yesus dengan berani tidak terbatas kepada mereka yang mempunyai keperibadian yang berani atau pernah menerima latihan dalam pelayanan. Roh Kudus yang mendiami kita, Dialah yang memampukan kita mengkhabarkan berita baik tentang Yesus. Dengan kekuatan-Nya, kita dapat mengalami keberanian untuk berkongsi kisah Penyelamat kita dengan orang lain.