Apakah yang membuatkan anda tidak dapat tidur pada waktu malam? Kebelakangan ini saya kekurangan tidur, berkalih-kalih di katil, cuba mencari penyelesaian bagi satu isu. Akhirnya saya mula berasa risau bahawa saya tidak tidur secukupnya untuk menghadapi cabaran pada hari keesokan!

Adakah ini perkara biasa? Masalah hubungan, masa depan yang belum pasti, apa pun perkara—kita menyerah diri kepada kekhuatiran dari semasa ke semasa.

Raja Daud jelas sedang tertekan apabila dia menulis Mazmur 4. Orang sedang merosakkan reputasinya dengan tuduhan yang tidak berasas (ayat 2). Ada pula sedang mempersoalkan kemampuannya untuk memerintah negaranya (ayat 6). Daud mungkin berasa marah kerana dilayan dengan tidak adil. Kemungkinan besar dia terganggu secara emosi selama beberapa malam. Namun kita membaca kata-kata yang menakjubkan ini: “Aku akan berbaring dan tidur dalam sejahtera, kerana hanya Engkau, Ya TUHAN, membolehkan aku tinggal dengan selamat” (ayat 8).

Charles Spurgeon menjelaskan ayat 8 dengan baik: “Dengan berbaring … (Daud) telah menyerahkan dirinya ke dalam tangan Tuhan; dia melakukan demikian dengan begitu sempurna, kerana tanpa sebarang kekhuatiran, dia tidur; dia betul-betul menunjukkan kepercayaan yang teguh.” Apakah yang mengilhamkan kepercayaan ini? Dari mulanya, Daud yakin bahawa Tuhan akan menjawab doanya (ayat 3). Dia juga yakin bahawa oleh sebab Tuhan telah memilih untuk mengasihinya, maka Dia akan memenuhi keperluannya dengan kasih sayang.

Semoga Tuhan menolong kita bersandar kepada kuasa dan hadirat-Nya apabila kekhuatiran menyerang. Dalam tangan-Nya yang penuh kasih dan kedaulatan, kita boleh “berbaring dan tidur.”