Tidak lama dahulu, saya mengirimkan satu mesej kepada isteri saya, Cari, dengan menggunakan voice prompt (yang mengubah kata-kata ucapan kepada teks). Masa itu saya sedang berada dalam perjalanan keluar dari pintu untuk mengambil dia dari tempat kerja dan bermaksud untuk mengirimkan kata-kata, “Di mana kamu mahu saya ambil kamu, gadis tua (old gal)?”

Cari tidak tersinggung jika saya memanggilnya dia “old gal”—itu merupakan salah satu nama panggilan mesra yang kami gunakan di rumah. Tetapi telefon bimbit saya tidak “memahami” frasa itu, sebaliknya mengirimkan perkataan “old cow” (lembu tua).

Syukurlah, Cari terus memahami apa yang terjadi dan berasa lucu. Dia kemudian mengirimkan teks mesej saya di halaman media sosialnya dan bertanya, “Adakah saya harus berasa tersinggung?” Kami berdua tertawa kerana peristiwa itu.

Respons mesra isteri saya terhadap kata-kata saya yang aneh pada hari itu membuatkan saya memikirkan pemahaman Tuhan yang penuh kasih terhadap doa-doa kita. Kita mungkin tidak tahu apa yang harus dikatakan apabila kita berdoa, atau apa yang harus diminta, tetapi apabila kita menjadi milik Kristus, Roh-Nya yang di dalam kita “berdoa syafaat untuk kita dengan rintihan yang tidak dapat disampaikan melalui kata-kata” (Roma 8:26), dan dengan kasih membantu kita meluahkan keperluan dalaman kita di hadapan-Nya.

Bapa kita yang di syurga tidak berdiri dari jauh untuk menunggu kita meluahkan kata-kata yang betul. Kita boleh datang kepada-Nya dengan setiap keperluan, dengan keyakinan bahawa Dia memahami dan menerima kita dengan kasih.