Apabila saya melawat Gereja Chora yang sungguh indah di Istanbul buat kali pertama, saya dapat memahami beberapa kisah Alkitab daripada lukisan fresko dan mozek zaman Byzantine pada siling. Tetapi saya tidak dapat mamahami banyak perincian dalam lukisan itu. Bagaimanapun, untuk lawatan kedua, saya diiringi oleh seorang pembimbing. Dia menunjukkan semua butiran yang saya terlepas sebelum ini, tiba-tiba saya memahami semua lukisan itu secara menyeluruh! Misalnya, lukisan siling bahagian pertama menggambarkan kehidupan Yesus seperti yang dicatatkan dalam Injil Lukas.
Kadangkala apabila kita membaca Alkitab, kita memahami cerita-cerita asas, tetapi bagaimana pula dengan sambungan butiran yang menjadikan Alkitab sebuah cerita yang sempurna? Kita mempunyai ulasan Alkitab dan alat kajian, tetapi kita juga memerlukan panduan seseorang untuk membuka mata kita dan membantu kita melihat keajaiban dalam wahyu Tuhan yang tertulis. Pembimbing kita ialah Roh Kudus yang mengajar kita “segala-galanya” (Yohanes 14:26). Paulus menulis bahawa Dia menjelaskan “fikiran rohani dengan kata-kata rohani” (1 Korintus 2:13).
Betapa indahnya ada Pengarang Buku untuk menunjukkan kepada kita keajaiban itu! Tuhan tidak hanya memberi kita firman bertulis dan wahyu-Nya, tetapi Dia juga membantu kita memahami dan belajar daripada-Nya. Oleh itu, marilah kita berdoa dengan pemazmur dengan berkata, “Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu.” (Mazmur 119:18).