Selepas diberhentikan pekerjaan sebagai penyunting, saya berdoa dan meminta Tuhan membantu saya mencari pekerjaan yang baru. Tetapi selepas beberapa minggu berlalu dan tiada hasil daripada usaha menghubungi dan mengisi borang permohonan pekerjaan, saya mula merengus. “Tidakkah Engkau tahu betapa pentingnya pekerjaan bagi saya?” Saya bertanya kepada Tuhan, serta bersilang tangan sebagai bantahan akan doa yang seakan-akan tidak terjawab.

Apabila saya bercakap dengan bapa saya tentang situasi pekerjaan saya, dia yang selalu mengingatkan saya untuk percaya pada janji-janji Tuhan dengan berkata, “Saya berharap anda tetap percaya apa yang difirmankan Tuhan.”

Nasihat bapa saya mengingatkan saya tentang Amsal 3, yang mempunyai nasihat yang berhikmah daripada seorang bapa kepada anak yang dikasihinya. Firman yang biasa diketahui ini adalah sangat sesuai dalam situasi saya: “Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah Dia dalam segala jalanmu, maka Dia akan meluruskan jalanmu” (Amsal 3:5-6). Untuk “meluruskan jalan” bermaksud Tuhan akan memimpin kita kepada tujuan-Nya, sehingga kita bertumbuh. Tujuan terutama-Nya adalah supaya kita semakin menyerupai-Nya.

Ini tidak bermaksud jalan yang dipilih-Nya adalah mudah. Tetapi saya akan memilih untuk percaya bahawa tujuan dan waktu-Nya adalah untuk kebaikan saya.

Adakah anda sedang menantikan jawapan Tuhan? Pilihlah untuk mendekati-Nya dan percaya bahawa Dia akan memimpin anda.