Seorang ibu menulis: pada suatu hari dia amat terkejut untuk melihat anak perempuannya penuh dengan lumpur di bahagian bawah dari pinggangnya setibanya di pintu rumah selepas balik dari sekolah. Anaknya menjelaskan bahawa seorang kawannya terjatuh ke dalam lumpur. Sementara seorang lagi kawan berlari untuk mendapatkan bantuan, anak kecil itu berasa simpati terhadap kawannya yang duduk berseorangan sambil memegang kakinya yang terluka. Dia pun pergi dan duduk di dalam lumpur tersebut bersama dengan kawannya sehingga guru datang.
Sewaktu Ayub mengalami kehilangan anak-anaknya dan menderita barah bisul pada seluruh badannya, penderitaannya begitu luar biasa. Alkitab menyatakan bahawa tiga orang kawannya ingin menghiburnya. Sewaktu mereka bertemu dengan Ayub, “menangislah mereka dengan suara yang nyaring. Mereka mengoyakkan jubah masing-masing dan menghamburkan debu ke langit, ke atas kepala mereka. Kemudian mereka duduk di tanah bersama-samanya selama tujuh hari tujuh malam. Tidak ada seorang pun yang mengucapkan sepatah kata jua kepadanya, kerana mereka melihat betapa berat sekali penderitaannya” (Ayub 2:12-13).
Kawan-kawan Ayub pada mulanya amat bertimbang rasa. Mereka tahu bahawa Ayub hanya memerlukan seseorang untuk menemani dan berkabung bersamanya. Kemudian ketiga-tiga kawannya mula bercakap. Yang ironinya, apabila kawan-kawannya mula bercakap, mereka memberi nasihat yang tidak sesuai (16:1-4).
Kerap kali perkara yang terbaik yang kita boleh lakukan semasa menghiburkan seseorang kawan yang menderita adalah menemani mereka.