Salah satu lukisan kegemaran saya boleh dijumpai di Gereja Keble College di Oxford, England. Lukisan tersebut, The Light of the World adalah karya seorang pelukis England yang bernama William Holman Hunt, menunjukkan Yesus memegang satu lampu pada tangan-Nya dan mengetuk pintu sebuah rumah.

Satu perkara yang menarik pada lukisan itu adalah tiadanya pemegang pada pintu tersebut. Apabila ditanya tentang cara membuka pintu itu, Hunt menjelaskan bahawa dia ingin menunjukkan gambaran dalam Wahyu 3:20, “Dengarlah! Aku berdiri di hadapan pintu sambil mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke rumahnya.”

Kata-kata Rasul Yohanes dan lukisan tersebut menggambarkan kemurahan hati Yesus. Dia mengetuk pintu jiwa kita dengan lemah lembut serta membawa damai sejahtera. Yesus berdiri dan menantikan jawapan kita dengan kesabaran. Dia tidak akan membuka pintu tersebut sendiri-Nya dan masuk ke dalam hidup kita secara paksa. Dia tidak memaksakan kehendak-Nya ke atas kita. Sebaliknya, Dia memberi kepada manusia kurnia penyelamatan dan terang untuk memimpin kita.

Kepada sesiapa yang membuka pintu, Dia berjanji untuk masuk ke hati orang. Tiada syarat lain diperlukan.

Jika anda mendengar suara Yesus dan ketukan-Nya yang lemah lembut pada pintu jiwamu, ketahuilah bahawa Dia menantikan anda dengan kesabaran dan Dia akan masuk ke dalam hati anda jika anda menjemput-Nya masuk.