Untuk meraikan suatu perayaan yang istimewa, suami saya membawa saya ke galeri seni tempatan dan mengatakan bahawa saya boleh memilih sebuah lukisan sebagai hadiah. Saya memilih sebuah gambar kecil anak sungai yang mengalir melalui hutan. Alur sungai meliputi sebahagian besar kanvas, dan sebab itu, sebahagian besar langit pula tersingkir daripada gambar itu. Walau bagaimanapun, pantulan anak sungai menunjukkan lokasi matahari, pokok-pokok, dan suasana yang berkabus. Satu-satunya cara untuk “melihat” langit adalah dengan melihat permukaan air.

Yesus adalah seperti anak sungai, dalam erti kata rohaniah. Apabila kita ingin tahu rupa Tuhan, kita melihat Yesus. Penulis Ibrani berkata bahawa Dia adalah “gambaran sempurna kewujudan-Nya” (1:3). Meskipun kita dapat mempelajari fakta tentang Tuhan melalui pernyataan langsung dalam Alkitab seperti “Tuhan itu cinta”, kita dapat memperdalam pemahaman kita dengan melihat bagaimana Tuhan akan bertindak jika Dia menghadapi masalah yang sama yang kita hadapi di bumi. Sebagai Tuhan dalam bentuk rupa manusia, inilah yang ditunjukkan Yesus kepada kita.

Dalam godaan, Yesus mengungkapkan kesucian Tuhan. Ketika menghadapi kegelapan rohani, Dia menunjukkan kuasa Tuhan. Ketika bergelut dengan masalah manusia, Dia menunjukkan kebijaksanaan Tuhan. Dalam kematian-Nya, Dia menggambarkan cinta Tuhan.

Walaupun kita tidak dapat memahami segalanya tentang Tuhan—Dia adalah tidak terbatas dan kita pula adalah terhad dalam pemikiran kita—kita boleh yakin tentang watak-Nya apabila kita melihat Kristus.