Semasa bermalam di sebuah hotel di Austin, Texas, saya ternampak sekeping kad di atas meja di bilik saya. Kad itu tertulis:

Selamat datang.
Kami berdoa penginapan anda di sini akan penuh ketenangan dan perjalanan anda berhasil. Semoga Tuhan memberkati anda dan memelihara anda, dan Tuhan menyinari anda dengan wajah-Nya.

Kad ini dihasilkan oleh sebuah syarikat yang menguruskan hotel berkenaan, membuat saya ingin tahu lebih lanjut tentang syarikat itu. Jadi saya pun melayari laman web mereka dan membaca tentang budaya, kekuatan dan nilai mereka. Dengan cara yang menarik, mereka berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan mengamalkan kepercayaan mereka di tempat kerja.

Falsafah mereka mengingatkan saya akan kata-kata Petrus kepada para pengikut Yesus yang tersebar di seluruh Asia Kecil. Dia mendorong mereka untuk menunjukkan iman mereka kepada Kristus di kalangan masyarakat mereka. Walaupun mereka menghadapi ancaman dan penganiayaan, Petrus memberitahu mereka agar tidak takut, “Hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat” (1 Petrus 3:15).

Seorang kawan saya menyebutkan pengisytiharan iman ini sebagai “menjalani gaya hidup yang menuntut penjelasan”. Tidak kira tempat yang kita tinggal atau bekerja, semoga kita hidup dengan iman kita hari ini dalam kekuatan Tuhan—selalu bersedia memberi jawapan dengan lembut dan hormat kepada setiap orang yang meminta penjelasan tentang harapan yang kita miliki.