Semasa Xavier berumur dua tahun, dia meluru ke satu lorong selepas satu lorong di sebuah kedai kasut kecil. Semasa bersembunyi di belakang himpunan kotak kasut, dia tertawa kecil apabila suami saya, Alan, berkata, “Saya nampak kamu”.

Beberapa saat kemudian, saya melihat Alan berlari-lari dari satu lorong ke satu lorong, sambil memanggil nama Xavier. Kami berkejar ke hadapan kedai. Rupa-rupanya anak kami, yang masih tertawa, berlari ke arah pintu yang terbuka dan menuju ke jalan raya yang sibuk di luar.

Alan meraupnya dengan segera. Kami berpelukan. Sambil menangis teresak-esak, saya bersyukur kepada Tuhan dan mencium pipi anak kecil kami.

Setahun sebelum saya mengandung Xavier, saya kehilangan anak pertama semasa kehamilan. Apabila Tuhan memberkati kami dengan anak lelaki ini, saya menjadi ibu yang selalu berada dalam ketakutan. Pengalaman di kedai kasut membuktikan bahawa saya tidak akan sentiasa dapat melihat atau melindungi anak kami. Tetapi saya menemukan kedamaian apabila saya belajar untuk beralih ke satu-satunya sumber pertolongan saya—Tuhan—ketika saya bergelut dengan kekhuatiran dan ketakutan.

Bapa kami yang di syurga tidak pernah mengalihkan pandangan-Nya daripada anak-anak-Nya. (Mazmur 121:1–4). Walaupun kita tidak dapat mengelakkan daripada mengalami cubaan, sakit hati, atau kehilangan, kita boleh hidup yakin dengan iman yang bergantung kepada Penolong dan Pelindung yang selalu hadir serta melindungi hidup kita (ayat 5–8).

Kita mungkin mengalami masa yang kita berasa tersesat dan tidak berdaya. Kita mungkin juga berasa tidak berdaya apabila kita tidak dapat melindungi orang yang kita sayangi. Tetapi kita boleh mempercayai bahawa Tuhan kita yang Maha Tahu tidak pernah melupakan kita—anak-anak-Nya yang berharga dan tercinta.