Bayangkan seorang ibu atau bapa yang penuh kasih, meletakkan jarinya secara perlahan di depan hidung dan bibir anaknya, kemudian secara lembut mengatakan “syh.” Sikap lembut dan perkataan yang sederhana ini bertujuan untuk menghibur serta menenangkan anak-anak yang cemas pada masa kekecewaan, ketidakselesaan, atau kesakitan. Keadaan-keadaan seperti ini adalah sejagat serta abadi, dan kebanyakan kita pernah memberi atau menerima ekspresi kasih sayang sebegini. Inilah gambaran yang terlintas dalam fikiran apabila saya merenungkan Mazmur 131:2.
Penggunaan bahasa dan aliran mazmur ini menunjukkan bahawa penulis, Daud, telah mengalami sesuatu yang membuat dia mempunyai masa renungan yang mendalam. Pernahkah anda mengalami kekecewaan, kekalahan, atau kegagalan yang mendorong anda berdoa dengan sungguh-sungguh? Apakah yang anda akan lakukan jika anda mengalami tekanan hidup, atau apabila anda gagal dalam ujian, kehilangan pekerjaan atau mengalami hubungan terputus? Daud mencurahkan hatinya kepada Tuhan, dan dalam proses itu, dia menyelidiki jiwa serta hatinya (Mazmur 131:1). Daud mendapat kepuasan seperti seorang anak kecil yang ditenangkan dengan hanya berada bersama ibunya, apabila dia menerima hakikat tentang keadaannya (ayat 2).
Keadaan hidup boleh berubah, dan kadang-kadang kita berasa kita seumpama kecil dan tidak berdaya. Namun kita boleh berharap kepada Tuhan serta tahu akan janji-Nya bahawa Dia tidak pernah meninggalkan kita. Kita boleh mempercayai Dia sepenuhnya.