Saya dan beberapa kawan akan berkumpul setiap bulan untuk mengingatkan satu sama lain akan mencapai matlamat individu kami. Kawan saya, Mary, mahu mencantikkan semula kerusi di ruang makan sebelum akhir tahun. Dalam perjumpaan kami pada bulan November, dengan berjenaka dia melaporkan kemajuannya: “Saya mengambil sepuluh bulan dan dua jam untuk mencantikkan semula kerusi saya.” Oleh sebab dia tidak dapat memperoleh bahan-bahan yang diperlukan selama berbulan-bulan, atau tiada masa yang sesuai kerana pekerjaannya yang mempunyai banyak tuntutan, sambil menjaga keperluan anak kecilnya, akhirnya projek itu diselesaikan setelah dia bertekad untuk melakukannya dengan hanya mengambil 2 jam.
Tuhan memanggil Nehemia untuk projek yang jauh lebih besar: membawa pemulihan ke Yerusalem setelah temboknya telah runtuh selama 150 tahun (Nehemia 2:3–5, 12). Ketika dia memimpin orang memulakan kerja pembinaan semula, mereka mengalami penghinaan, serangan, gangguan dan godaan untuk berdosa (4: 3, 8; 6: 10–12). Namun Tuhan melengkapi mereka untuk berdiri teguh—penuh azam dalam usaha mereka—menyelesaikan tugas yang sukar hanya dalam 52 hari.
Mengatasi cabaran sedemikian bukan sahaja memerlukan keinginan atau matlamat peribadi; Nehemia didorong oleh pemahaman bahawa Tuhan telah melantiknya untuk tugas itu. Misinya adalah menaikkan semangat rakyat supaya mengikut kepimpinannya, walaupun mereka menghadapi tentangan yang dahsyat. Apabila Tuhan mengamanahkan tugas kepada kita—sama ada untuk membaiki hubungan atau berkongsi apa yang telah dilakukan-Nya dalam kehidupan kita—Dia akan memberi kita segala kemahiran serta kekuatan yang diperlukan, untuk meneruskan apa yang diminta-Nya, tidak kira apa pun cabaran yang akan datang.