Ketika saya dan rakan saya pergi bersiar-siar, kami bercakap tentang kecenderungan kami untuk membaca Alkitab. Saya tergamam apabila dia berkata, “Oh, tetapi saya tidak begitu suka akan Perjanjian Lama. Semuanya berbicara tentang hal-hal yang keras dan dendam—berikan saya Yesus!”
Kita mungkin dapat bersetuju dengan kata-katanya apabila membaca buku seperti Nahum. Kita mungkin undur ketakutan apabila membaca kenyataan seperti, “TUHAN itu pembalas dan penuh dengan kemurkaan” (Nahum 1:2). Namun ayat seterusnya memberikan kita harapan: “Tuhan itu panjang sabar dan hebat kuasa-Nya” (ayat 3).
Apabila kita menggali dengan lebih dalam lagi tentang kemurkaan Tuhan, kita akan memahami bahawa apabila Dia menjadi murka, Dia sering kali mempertahankan umat-Nya atau nama-Nya. Oleh sebab kasih-Nya yang melimpah, Dia mencari keadilan untuk kesalahan yang dilakukan dan penebusan untuk mereka yang telah berpaling daripada-Nya. Kita melihat hal ini bukan sahaja berlaku dalam Perjanjian Lama, apabila Dia memanggil umat-Nya kembali kepada-Nya, malahan juga dalam Perjanjian Baru, ketika Dia mengutus Anak-Nya untuk menjadi korban demi dosa-dosa kita.
Kita mungkin tidak memahami misteri sifat Tuhan, tetapi kita boleh mempercayai bahawa Dia bukan sahaja melaksanakan keadilan, malahan pula Dia juga merupakan sumber segala kasih. Kita tidak perlu takut akan Dia, kerana Dia adalah “baik, Dialah benteng pada masa kesesakan. Dia mengenal mereka yang berlindung pada-Nya”(ayat 7).