Semasa berlakunya Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997, bilangan orang yang mencari pekerjaan adalah lebih daripada peluang pekerjaan yang ada. Saya salah seorang daripadanya. Selepas bergelut untuk mencari pekerjaan selama 9 bulan, akhirnya saya berjaya mendapat pekerjaan sebagai penulis salinan. Tetapi tidak lama selepas itu, syarikat tersebut telah mengalami masalah kewangan yang teruk dan saya menganggur sekali lagi.
Pernahkah anda mengalami hal sedemikian? Seperti sesuatu yang paling buruk telah berlalu dan anda terjerumus ke dalam kesusahan secara tiba-tiba. Hal ini dapat dikaitkan dengan cerita mengenai balu di Sarfat (1 Raja-Raja 17:12). Disebabkan oleh bencana kelaparan, dia sedang menyediakan makanan terakhir untuk dirinya dan juga anaknya ketika nabi Elia datang untuk meminta makanan. Dia dengan berat hati bersetuju dengan permintaan Elia, maka Tuhan membekalkan tepung dan minyak yang berterusan kepadanya (ayat 10-16).
Tetapi kemudian anaknya telah jatuh sakit. Kesihatannya merosot sehingga dia berhenti bernafas. Balu itu berseru, “Apa masalahku dengan engkau, ya hamba Allah? Engkau telah singgah di tempatku untuk mengingatkan kesalahanku dan untuk membunuh anakku”(ayat 18).
Ada kalanya mungkin kita ingin memberi respons seperti balu itu—bertanya-tanya sama ada Tuhan sedang menghukum kita. Kita terlupa bahawa perkara-perkara buruk boleh berlaku di dunia yang telah rosak ini.
Elia membawa kebimbangan itu kepada Tuhan, berdoa dengan tekun dan tulus untuk anak tersebut, dan Tuhan membangkitkannya! (ayat 20-22).
Apabila kesusahan menimpa kita, semoga kita—seperti Elia—menyedari bahawa Dia yang setia tidak akan meninggalkan kita! Kita boleh mempunyai kesejahteraan dalam rancangan Tuhan dan berdoa agar kita memahami kehendak-Nya.