Ketika anak kami Xavier masih muda, urusan perniagaan sering kali membuatkan suami saya jarang berada di rumah. Meskipun bapanya sering membuat panggilan telefon, namun ada kalanya berlaku malam-malam yang sukar kerana panggilan telefon sahaja tidak cukup untuk menghiburkan Xavier. Untuk membantu menenangkan Xavier ketika dia memerlukan bapanya, saya akan mengeluarkan album-album foto kami sebelum dia pergi tidur. Saya menunjukkan gambar-gambar mereka bersama dan bertanya, “Adakah anda masih ingat ini?”
Kenangan-kenangan itu memberi galakan kepada anak kami yang sering berkata, “Saya mempunyai bapa yang baik.”
Saya memahami keperluan Xavier untuk diingatkan tentang kasih sayang bapanya ketika dia tidak melihat bapanya. Setiap kali saya mengalami masa yang sukar atau keseorangan, saya juga ingin mengetahui bahawa saya dikasihi, terutamanya oleh Bapa syurgawi.
Daud menyuarakan kerinduannya yang terdalam kepada Tuhan ketika dia menyembunyikan diri daripada musuh di padang gurun (Mazmur 63:1). Dengan mengingat pertemuan peribadinya dengan Tuhan yang berkuasa tanpa batas dan kasih-Nya yang memberikan kepuasan, mendorongnya untuk menaikkan pujian (ayat 2-5). Pada malam-malam yang paling sukar, Daud masih boleh bersukacita dalam kasih pemeliharaan Bapa syurgawi (ayat 6-8).
Pada saat kegelapan melanda kehidupan, ketika kita seolah-olah tidak merasakan kehadiran Tuhan, kita perlu diingatkan tentang siapakah Tuhan dan bagaimana Dia menyatakan kasih-Nya. Dengan mengenang kembali pengalaman peribadi kita dengan Dia, serta segala tindakan-Nya yang tercatat dalam Alkitab, ia dapat mengesahkan cara-cara Abba Bapa kita yang tidak terhitung dalam menunjukkan kasih-Nya kepada kita..