Pergi ke kedai runcit bukanlah sesuatu yang saya nikmati. Ia cuma sebahagian daripada kehidupan rutin—sesuatu yang perlu dilakukan.
Namun tanpa jangkaan, ada satu bahagian dalam tugasan ini yang saya mula nantikan: membayar di kaunter Fred. Ini kerana Fred, menjadikan kaunter pembayaran itu sebagai tempat pertunjukkan bakat. Dia melakukan tugas dengan cepat dengan senyuman yang besar, dan juga menari (dan kadangkala menyanyi!) sambil dia melemparkan barangan belian (yang tidak mudah pecah) ke dalam beg plastik. Secara nyata, Fred sangat suka akan pekerjaan ini walaupun ia mungkin dianggap sebagai pekerjaan yang membosankan. Dan untuk seketika, semangatnya yang riang membuatkan orang lain di kaunter pembayaran berasa senang hati.
Cara Fred melakukan tugasnya telah memenangi rasa hormat dan perasaan kagum saya. Sikapnya yang ceria, keinginan untuk melakukan tugas, serta perhatiannya terhadap butiran yang terperinci, segalanya adalah sejajar dengan gambaran rasul Paulus tentang bagaimana kita harus bekerja dalam Kolose 3:23: “Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan manusia.”
Apabila kita memiliki hubungan dengan Yesus, sebarang pekerjaan yang perlu kita lakukan memberi kita peluang untuk mencerminkan hadirat-Nya dalam kehidupan kita. Tiada tugas yang terlalu kecil … atau terlalu besar! Menyelesaikan tanggungjawab kita—dalam segala sesuatu—dengan sukacita, kreativiti, dan kecemerlangan memberi kita peluang untuk mempengaruhi orang di sekeliling kita, tidak kira apa pun yang kita lakukan.