SOS, isyarat kod Morse, telah dicipta dalam tahun 1905 kerana anak-anak kapal memerlukan satu cara untuk menandakan kecemasan yang ekstrem. Isyarat itu mendapat perhatian pada tahun 1910 apabila digunakan oleh kapal yang sedang tenggelam Steamship Kentucky, untuk menyelamatkan kesemua 46 orang di atas kapal.

Sementara SOS mungkin sebuah ciptaan yang baharu, seruan untuk memohon pertolongan memang perkara manusiawi dari dahulukala. Kita sering mendengarnya dalam kisah Perjanjian Lama tentang Yosua, yang menghadapi tentangan daripada bangsanya sendiri, orang Israel (Yosua 9:18) dan kawasan yang mencabar (3:15-17) selama lebih daripada 14 tahun ketika orang Israel dengan perlahan-lahan menakluki serta menetap di tanah yang telah dijanjikan Tuhan kepada mereka. Semasa perjuangan ini “TUHAN menyertai Yosua” (6:27).

Dalam Yosua 10, orang Israel menolong orang Gibeon, gabungan sekutu Israel yang diserang oleh lima raja. Yosua menyedari bahawa dia memerlukan pertolongan daripada Tuhan untuk mengalahkan begitu ramai musuh yang kuat itu (ayat 12). Tuhan menjawab dengan menurunkan hujan batu, bahkan menghentikan matahari di tengah-tengah langit demi memberi Israel lebih banyak masa untuk mengalahkan musuh. Yosua 10:14 mencatatkan, “Kerana TUHAN berperang demi orang Israel!”

Jika anda berada di tengah-tengah keadaan yang mencabar, anda boleh menghantar SOS kepada Tuhan. Pertolongan yang anda alami mungkin berbeza daripada pertolongan yang diterima oleh Yosua. Mungkin pertolongan itu berbentuk pekerjaan yang tidak disangka, seorang doktor yang memahami, atau kedamaian di tengah-tengah kesukaran. Semoga anda mendapat dorongan kerana demikianlah cara Tuhan menjawab permohonan anda serta berjuang untuk anda.