Saya menuju ke pejabat pos dengan tergesa-gesa. Ada beberapa perkara penting yang perlu dilakukan dalam senarai tugasan saya. Namun saya berasa kecewa apabila melihat ramai orang beratur sehingga pintu masuk ketika saya tiba di tempat tersebut. “Panjangnya barisan ini, tunggu sahajalah,” saya bersungut sambil melihat jam tangan.

Sebelum saya dapat masuk pun, satu orang tua yang tidak dikenali mendekati saya. “Saya tidak pandai menggunakan mesin fotokopi ini,” katanya sambil menunjukkan mesin di belakang kami. “Ia telah menelan wang saya dan saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.” Dengan serta-merta saya menyedari apa yang Tuhan menginginkan saya lakukan. Saya melangkah keluar daripada barisan dan menyelesaikan masalah tersebut dalam 10 minit.

Lelaki itu mengucapkan terima kasih kepada saya dan kemudian beredar. Apabila saya ingin beratur semula, barisan yang panjang itu telah hilang. Saya terus berjalan ke kaunter perkhidmatan.

Pengalaman saya pada hari itu mengingatkan saya tentang kata-kata Yesus: “Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah ruah akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu “(Lukas 6:38).

Penantian saya terasa singkat kerana Tuhan telah mengganggu sikap tergesa-gesa saya dengan mengalihkan perhatian saya kepada keperluan orang lain, serta menolong saya untuk memberikan masa saya kepada orang lain. Dia memberikan saya anugerah. Ini merupakan satu pelajaran yang saya harap untuk mengingat apabila melihat jam tangan setiap kali.