Kita boleh melihat hampir setiap pertengkaran tentang mengapa berlakunya kesakitan di dunia dalam kitab Ayub, namun pertengkaran itu kelihatan tidak dapat membantu Ayub. Krisis yang dialaminya adalah lebih berbentuk krisis hubungan berbanding krisis keragu-raguan. Bolehkah dia mempercayai Tuhan? Ada satu perkara yang sangat diingini oleh Ayub: kehadiran Seseorang yang dapat menerangkan nasib malangnya. Dia ingin bertemu dan berhadapan muka dengan Tuhan secara peribadi.

Akhirnya Ayub mendapat apa yang dikehendakinya. Tuhan menyatakan diri-Nya sendiri kepada Ayub (lihat Ayub 38:1). Dia memilih waktu hadirat-Nya dengan ironi yang sempurna, tepat pada masa sahabatnya Elihu, menjelaskan mengapa Ayub tidak berhak untuk mengharapkan lawatan daripada Tuhan.

Tidak ada seorang pun—bahkan Ayub, atau mana-mana sahabatnya—bersedia dengan apa yang akan dikatakan oleh Tuhan. Ayub menyimpan satu senarai soalan yang panjang untuk ditanyakan kepada Tuhan. Akan tetapi Tuhan yang bertanyakan soalan, bukan Ayub. “Sekarang, bersedialah untuk menghadapi Aku,” mula-Nya; “jawablah soalan-soalan-Ku” (ayat 3, ABB). Dengan mengetepikan 35 bab perdebatan mengenai masalah kesakitan, Tuhan mendeklamasikan puisi yang agung tentang keajaiban semula jadi dunia.

Kata-kata Tuhan menjelaskan perbezaan yang besar antara Tuhan Pencipta dan seorang yang lemah seperti Ayub. Hadirat-Nya yang menakjubkan telah menjawab soalan terbesar Ayub: Adakah sesiapa di luar sana? Ayub hanya boleh menjawab, “Itulah sebabnya aku telah menyatakan apa yang tidak kufahami, hal-hal yang terlalu ajaib bagiku, yang tidak kuketahui” (42:3).