Sewaktu menunggang motosikal bersama suami dalam perjalanan pendek untuk menghantar barang, saya menatal e-mel dalam telefon saya dan terkejut kerana melihat iklan tentang sebuah kedai donat tempatan yang baru sahaja kami lalui di sebelah kanan jalan. Tiba-tiba perut terus berkeroncong kelaparan. Saya terkagum akan bagaimana teknologi membolehkan usahawan menarik hati kami untuk membelanjakan wang dalam perniagaan mereka.

Ketika menutup e-mel, saya merenungkan kerinduan Tuhan supaya saya lebih mendekati-Nya. Dia sentiasa mengetahui tempat saya berada serta ingin mempengaruhi pilihan saya. Saya tertanya-tanya, Adakah hati saya berkeroncong dengan keinginan untuk hadirat-Nya seperti perut saya yang menginginkan sebiji donat?

Dalam Yohanes 6, susulan daripada mukjizat memberi makan kepada lima ribu orang, murid-murid-Nya dengan penuh keinginan meminta agar Yesus selalu memberikan mereka “roti yang … memberi hidup kepada manusia di dunia” (ayat 33-34). Yesus menjawab dalam ayat 35, “Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.” Sungguh mengagumkan hubungan dengan Yesus boleh memberikan makanan yang berterusan dalam kehidupan seharian kita!

Iklan kedai donat itu memfokuskan selera saya secara fizikal. Akan tetapi Tuhan yang menyelami keadaan hati saya secara berterusan membawa saya untuk mengenal bahawa saya memerlukan Dia setiap hari dan perlu menerima rezeki yang hanya dapat dibekalkan oleh Dia.