Ada kalanya kehidupan menjadi sibuk—pembelajaran yang sukar, kerja yang meletihkan, bilik mandi yang perlu dibersihkan, serta menghadiri temu janji, semuanya tersenarai dalam jadual harian. Saya begitu sibuk sehingga satu tahap bahawa saya memaksa diri untuk membaca Alkitab selama beberapa minit sahaja sehari dan mengatakan kepada diri saya bahawa saya akan mengambil lebih banyak waktu untuk Tuhan pada minggu depan. Namun ia berlaku hanya dalam masa yang singkat dan perhatian saya mula terganggu lagi, dilemaskan dengan tugasan harian, serta lupa untuk memohon apa-apa pertolongan daripada Tuhan.
Ketika Petrus sedang berjalan di atas air menuju ke arah Yesus, dengan segera perhatiannya terganggu oleh ribut dan ombak, serta mula tenggelam seperti bagaimana yang saya alami (Matius 14:29-30). Tetapi sewaktu Petrus berseru kepada Tuhan, “Yesus segera menghulurkan tangan memegangnya” (ayat 30-31).
Saya sering merasakan seolah-olah saya perlu melakukannya untuk Tuhan setelah begitu sibuk dan terganggu sehingga saya kehilangan pandangan kepada-Nya. Tetapi itu bukan cara Tuhan bertindak. Sebaik sahaja kita berpaling kepada-Nya untuk memohon pertolongan, Yesus dengan segera akan menghulurkan tangan-Nya.
Ketika badai kehidupan mencemaskan kita, adalah mudah untuk kita lupa bahawa Tuhan menyertai kita. Yesus bertanya kepada Petrus, “Mengapa engkau ragu?” (ayat 31). Tidak kira apa pun yang kita sedang lalui, Dia sentiasa hadir serta bersedia untuk menghulurkan tangan-Nya dan menyelamatkan kita.