Cucu-cucu lelaki saya suka memakai pakaian secara sendiri tanpa bantuan. Kadangkala mereka memakai baju secara terbalik, dan yang lebih kecil pula selalu mengenakan kasutnya pada kaki yang salah. Saya biasanya tidak sampai hati untuk menegur mereka; lagipun, muka mereka yang polos memang comel.

Saya suka melihat dunia melalui penglihatan mereka. Bagi mereka, segala-galanya merupakan suatu pengembaraan, sama ada berjalan di atas pokok yang jatuh di tanah, memerhatikan seekor kura-kura yang sedang berjemur di atas kayu balak, atau teruja melihat kereta bomba yang sedang berlalu. Namun saya tahu bahawa cucu-cucu saya ini memiliki hati yang tidak benar-benar murni. Mereka boleh mencipta banyak alasan tentang mengapa mereka tidak boleh pergi tidur pada waktu malam dan berebut alat mainan. Namun, saya sangat menyayangi mereka.

Saya membayangkan keadaan Adam dan Hawa, manusia pertama ciptaan Tuhan juga bersifat seperti cucu saya dalam beberapa aspek. Segala-gala yang dilihat oleh mereka di taman itu pastinya merupakan satu keajaiban ketika mereka berjalan bersama Tuhan. Akan tetapi pada suatu hari, mereka dengan sengaja tidak mematuhi perintah Tuhan. Mereka telah memakan buah pokok larangan (Kejadian 2:15-17; 3:6). Dan ketidaktaatan itu dengan serta-merta telah membuat mereka membohong dan saling menyalahkan (3:8-13).

Namun, Tuhan mengasihi dan mempedulikan mereka. Dia mengorbankan seekor binatang untuk membuat pakaian dan mengenakannya pada mereka (ayat 21)—dan kemudian Dia menyediakan satu jalan penyelamatan untuk semua orang berdosa melalui pengorbanan Anak-Nya (Yohanes 3:16). Dia begitu mengasihi kita!