Dalam satu perbincangan di meja bulat mengenai perdamaian, seorang peserta yang bijak berkata, “Jangan membekukan orang lain dalam masa lampau.” Dia memerhatikan kami cenderung mengingat kesilapan orang lain dan tidak pernah memberi peluang kepada mereka untuk berubah.
Terdapat begitu banyak masa dalam kehidupan Petrus yang sebenarnya Tuhan boleh “membekukannya” dalam masa lampau. Tetapi Dia tidak pernah melakukannya. Petrus, murid yang impulsif, cuba “membetulkan” Yesus, akibatnya dia mendapat amaran keras daripada Tuhan (Matius 16:21-23). Dia menjadi terkenal kerana menyangkal Kristus (Yohanes 18:15-27), namun imannya dipulihkan pada hari yang kemudian (21:15-19). Malah dia pernah menyebabkan isu perkauman di dalam gereja.
Isu itu timbul ketika Petrus (juga dipanggil Kefas) telah memisahkan dirinya daripada bangsa-bangsa lain (Galatia 2:11-12). Sebelum itu dia bersekutu secara bebas dengan mereka. Tetapi beberapa orang Yahudi telah datang dan menegaskan bahawa sunat harus dilakukan di kalangan orang yang percaya kepada Kristus, justeru itu Petrus mulai menghindari bangsa-bangsa yang tidak bersunat. Ini menandakan amalan yang berbahaya untuk mematuhi hukum Musa semula. Paulus memanggil tingkah laku Petrus sebagai “kemunafikan” (ayat 13). Disebabkan oleh konfrontasi Paulus yang berani, maka isu itu telah diselesaikan. Petrus terus melayani Tuhan dengan semangat kesatuan yang indah yang dikehendaki-Nya.
Tiada sesiapa pun yang perlu kekal menjadi beku pada saat-saat terburuk dalam kehidupan mereka. Dengan rahmat Tuhan, kita boleh menerima, belajar, dan berhadapan dengan satu sama lain jika perlu, dan tumbuh bersama dalam kasih-Nya.