Selepas mengimbas kembali segala yang telah dilakukan Tuhan ke atas gereja kami selama ini, para pemimpin telah memberikan satu cadangan kepada jemaah tentang pembinaan sebuah gim yang baru untuk membantu kami melayani masyarakat dengan lebih baik. Pasukan kepimpinan mengumumkan bahawa mereka akan menjadi orang yang pertama untuk menandatangani perjanjian membiayai pembinaan. Pada mulanya saya berdoa dengan hati yang mementingkan diri, enggan memberikan kewangan lebih daripada yang telah dijanjikan. Namun, saya dan suami saya bersetuju untuk berdoa bagi projek yang sedang berjalan itu. Semasa mengingat segala pembekalan yang disediakan Tuhan kepada kami secara terus-menerus, akhirnya kami membuat keputusan untuk memberikan persembahan bulanan. Hasil gabungan kutipan gereja kami itu telah membiayai keseluruhan pembinaan tersebut.

Dengan mensyukuri cara-cara yang telah digunakan oleh Tuhan untuk acara komuniti sejak kami membuka pintu pelayanan melalui gim itu, saya diingatkan tentang seorang lagi pemberi yang murah hati—Raja Daud. Walaupun Tuhan tidak memilih dia untuk membina bait-Nya, namun Daud telah melaburkan kesemua sumbernya demi pembinaan bait tersebut (1 Tawarikh 29:1-5). Para pemimpin dan orang yang dilayani oleh mereka turut memberi dengan murah hati (ayat 6-9). Raja mengiktiraf bahawa semua yang disumbangkan oleh mereka itu telah diberikan kepada mereka terlebih dahulu oleh Tuhan—Pencipta, Sumber Kekuatan, dan Pemilik segala sesuatu (ayat 10-16).

Apabila kita mengakui Tuhan memiliki segala sesuatu, kita dapat memberi demi kepentingan orang lain dengan perasaan bersyukur, murah hati, dan bersikap setia dalam memberi. Dan kita boleh mempercayai bahawa Tuhan akan membekalkan—dan mungkin turut membantu kita melalui kemurahan hati orang lain semasa kita memerlukan bantuan.