Ketika saya berdoa di mimbar dalam satu upacara pengebumian, saya terpandang sebuah plak loyang yang mengandungi kata-kata daripada Yohanes 12:21: “Tuan, kita ingin bertemu dengan Yesus.” Ya, saya berpendapat bahawa memang tepat untuk mempertimbangkan bagaimana kita melihat Yesus melalui seorang wanita yang kami kenangkan dengan air mata dan senyuman. Walaupun dia menghadapi cabaran dan kekecewaan dalam hidup, namun dia tidak pernah melepaskan kepercayaannya terhadap Kristus. Dan oleh sebab Roh Tuhan hidup di dalamnya, maka kami dapat bertemu dengan Yesus.

Injil Yohanes menceritakan dengan panjang lebar tentang keadaan setelah Yesus masuk ke Yerusalem (lihat Yohanes 12:12-16), beberapa orang Yunani telah mendapatkan Filipus, salah seorang daripada murid-murid itu, lalu berkata, “Tuan, … kami ingin bertemu dengan Yesus” (ayat 21). Mereka mungkin ingin tahu tentang penyembuhan dan mukjizat Yesus, tetapi oleh sebab mereka bukan orang Yahudi, maka mereka tidak dibenarkan masuk ke pelataran dalam Bait Tuhan. Apabila permintaan mereka disampaikan kepada Yesus, Dia mengumumkan bahawa sudah tiba masanya untuk Dia dimuliakan (ayat 23). Dan maksud perkataan itu Dia akan mati untuk semua orang berdosa. Dia akan memenuhi misi-Nya untuk menjangkau baik orang Yahudi, mahupun orang Kafir (“orang Yunani” dalam ayat 20), dan sekarang mereka akan bertemu dengan Yesus.

Selepas Yesus mati, Dia mengutus Roh Kudus untuk tinggal dalam para pengikut-Nya (Yohanes 14:16-17). Oleh itu, apabila kita mengasihi dan melayani Yesus, kita melihat Dia aktif dalam kehidupan kita. Dan, yang mengagumkan, orang di sekeliling kita juga boleh bertemu dengan Yesus!