Semasa saya masih remaja, kadangkala saya mencabar ibu saya apabila dia cuba menasihati saya agar beriman dalam Tuhan. Dia memberitahukan saya “Percayalah kepada Tuhan. Dia akan menjaga anda.” “Ia bukan sebegitu mudah, Mak!” balas saya. “Tuhan menolong orang yang menolong diri mereka sendiri!”
Akan tetapi kata-kata itu, “Tuhan menolong orang yang menolong diri mereka sendiri” tidak dapat ditemukan dalam Alkitab. Sebaliknya, Firman Tuhan mengajar kita supaya bergantung kepada Dia untuk keperluan harian kita. Yesus memberitahu kita, “Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, atau menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung? Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir? ”(Matius 6:26-27).
Segala sesuatu yang kita nikmati—bahkan kekuatan untuk mencari rezeki dan “membantu diri kita”—adalah anugerah daripada Bapa syurgawi yang mengasihi dan menghargai kita yang melampaui pemahaman kita.
Pada saat-saat akhir hidupnya, dia menghidapi penyakit Alzheimer yang menyebabkan dia hilang keupayaan untuk berfikir, tetapi iman kepercayaannya kepada Tuhan tetap kekal. Selama satu musim dia tinggal di rumah kami, dan saya adalah orang pertama yang telah memerhatikan pembekalan Tuhan ke atas segala keperluannya melalui cara-cara yang tidak dijangka—cara-cara yang telah membantu saya melihat bahawa selama ini dia memang betul. Dia tidak berasa khuatir, sebaliknya dia telah mempercayakan dirinya kepada Dia yang telah berjanji untuk memeliharanya. Dan Dia telah menunjukkan kesetiaan-Nya.