Sebagai seorang remaja, saya telah melalui musim pemberontakan untuk menentang ibu saya. Ayah saya telah meninggal dunia sebelum saya memasuki zaman remaja. Oleh itu, ibu saya terpaksa memegang peranan sebagai pemimpin dalam keluarga tanpa kehadiran bapa saya.

Saya pernah berfikir bahawa ibu tidak mahu saya mengalami keseronokan—dan bahkan tidak menyayangi saya—kerana dia sering menolak kemahuan saya. Namun saya dapat melihat sekarang bahawa sememangnya tepat apabila dia tidak mengizinkan saya menyertai aktiviti-aktiviti yang memang tidak baik bagi saya kerana dia mengasihi saya.

Orang Israel mempersoalkan kasih Tuhan terhadap mereka kerana masa yang dilalui oleh mereka sebagai tawanan di Babilon. Akan tetapi penawanan itu merupakan cara Tuhan untuk membetulkan mereka disebabkan oleh pemberontakan mereka terhadap Tuhan. Sekarang, Tuhan telah mengutus nabi Maleakhi untuk berbicara kepada mereka. Tuhan memulakan kata-kata-Nya dengan, “Aku mengasihi kamu” (Maleakhi 1:2). Israel menjawab dengan ragu-ragu dan mempersoalkan bagaimana Tuhan telah mengasihi mereka, seolah-olah mereka berkata, “Adakah ia betul?” Tetapi Tuhan, dengan pengantara nabi Maleakhi, mengingatkan mereka tentang cara Dia telah menunjukkan kasih itu: Dia telah memilih mereka, dan bukan kaum Edom.

Kesemua kita melalui musim sukar dalam kehidupan. Kita mungkin dicubai untuk mempersoalkan kasih Tuhan terhadap kita pada saat kita menghadapinya. Marilah kita ingat kembali cara-cara yang telah dilakukan Tuhan demi menunjukkan kasih-Nya yang tidak pernah berkesudahan dalam kehidupan kita. Apabila kita berhenti untuk melihat kebaikan-Nya, kita mendapati bahawa sememangnya Dia adalah seorang Bapa yang penuh kasih.