Setelah mendiami rumah mereka selama beberapa tahun, rakan-rakan saya menyedari bahawa bilik tetamu mereka sedang tenggelam—retakan-retakan muncul pada dinding dan sebuah tingkap tidak lagi boleh dibuka. Mereka mendapati bahawa bilik ini telah ditambah tanpa asas yang baik. Untuk membetulkan kualiti kerja yang rendah itu, kerja penyiapan yang berbulan-bulan lamanya diperlukan bagi pembina-pembina tersebut membuat asas baru.

Mereka telah menyiapkan kerja tersebut. Apabila saya melawat mereka selepas itu, saya tidak dapat melihat banyak perbezaan (walaupun retakannya telah hilang dan kini tingkapnya boleh dibuka). Namun saya telah memahami bahawa sebuah asas yang kukuh adalah penting.

Hal ini juga benar dalam kehidupan kita.

Yesus memberikan satu perumpamaan mengenai para pembina yang bijak dan bodoh untuk menggambarkan kebodohan orang yang tidak mendengarkan perintah Tuhan (Lukas 6:46-49). Mereka yang mendengar dan mematuhi kata-kata-Nya adalah seperti orang yang membina sebuah rumah di atas asas yang kukuh, tidak seperti orang yang mendengar tetapi mengabaikan perintah-Nya. Yesus memberi jaminan kepada para pendengar-Nya bahawa apabila ribut melanda, rumah mereka akan tetap berdiri teguh. Iman mereka tidak akan digoncangkan.

Kita mendapat keamanan dengan mengetahui bahawa apabila kita mendengar dan mematuhi perintah Yesus, Dia akan membuat satu asas yang kuat untuk kehidupan kita. Kita boleh menjadikan kasih kita terhadap-Nya kukuh melalui pembacaan Alkitab, berdoa, dan belajar daripada Kristian lain. Kemudian apabila kita menghadapi berbagai-bagai bentuk kesukaran—sama ada pengkhianatan, kesakitan, atau kekecewaan—kita boleh mempercayai bahawa asas kita adalah kukuh. Penyelamat kita akan memberikan sokongan yang kita perlukan.