Selepas peristiwa kemalangan lif pada 2016 yang mengakibatkan kematian dan lima puluh satu orang tercedera, Bandar Raya New York telah melancarkan satu kempen untuk mengajar orang ramai tentang cara untuk bertenang dan berada dalam keadaan selamat. Kes-kes yang paling teruk berlaku ialah apabila orang ramai cuba menyelamatkan diri ketika berlaku sesuatu yang tidak baik. Menurut pihak berkuasa, tindakan terbaik adalah cukup mudah, iaitu “Bunyikan loceng, relaks, dan tunggu.” Pihak berkuasa bangunan New York telah membuat satu komitmen untuk bertindak segera demi memberi perlindungan kepada orang ramai daripada kecederaan, serta mengeluarkan mereka daripada kesusahan.
Dalam kitab Kisah Para Rasul, Petrus menyampaikan khutbah tentang kesilapan kita untuk cuba menyelamatkan diri. Lukas, yang menulis buku itu, mencatatkan beberapa kejadian luar biasa, iaitu orang yang mempercayai Kristus berbicara dalam bahasa yang tidak diketahui mereka (Kisah Para Rasul 2:1-12). Petrus bangkit untuk menjelaskan kepada saudara dan saudari Yahudinya bahawa nubuat kuno yang disaksikan mereka telah digenapi (Yoel 2:28-32)—pencurahan Roh Kudus dan hari penyelamatan. Berkat daripada Roh Kudus sekarang jelas dilihat dalam mereka yang berseru kepada Yesus untuk diselamatkan daripada dosa dan akibatnya. Kemudian Petrus memberitahu mereka bagaimana penyelamatan ini tersedia untuk setiap orang (ayat 21). Jalan masuk kita kepada Tuhan diberikan bukan dengan mematuhi Hukum, melainkan mempercayai Yesus sebagai Tuhan dan Mesias.
Sekiranya kita terperangkap dalam dosa, kita tidak dapat menyelamatkan diri kita sendiri. Satu-satunya harapan kita untuk penyelamatan adalah mengakui dan mempercayai Yesus sebagai Tuhan dan Mesias.