Hinds Feet On High Places ialah satu alegori klasik tentang kehidupan Kristian yang berdasarkan Habakuk 3:19. Cerita itu mengisahkan watak Much-Afraid (Si Penakut) ketika dia melakukan perjalanan dengan Shepherd (Gembala). Dalam cerita tersebut, Much-Afraid berasa takut dan meminta Shepherd mendukungnya.
Dengan lemah lembut Shepherd menjawab, “Saya boleh terus mendukung anda sehingga tiba ke Tempat Tinggi dan tidak meninggalkan anda seorang diri ke tempat itu. Namun jika saya berbuat demikian, kaki kamu tidak dapat dilatih dan menjadi kuat, serta tidak dapat menjadi teman saya ke mana sahaja saya akan pergi. “
Soalan-soalan Much-Afraid sama dengan persoalan nabi Habakuk dalam Perjanjian Lama (jika saya jujur, saya juga mempersoalkan): “Mengapakah saya mesti mengalami penderitaan?” “Kenapa perjalanan saya sukar?”
Habakuk tinggal di Yehuda pada penghujung abad ketujuh SM sebelum orang Israel dibawa ke tempat pembuangan. Nabi itu mendapati dirinya berada dalam sebuah masyarakat yang mengabaikan ketidakadilan sosial. Dia berasa takut terhadap serbuan daripada orang Babel (Habakuk 1:2-11). Dia memohon agar Tuhan campur tangan dan menghapuskan penderitaan mereka (1:13). Tuhan menjawab bahawa Dia akan bertindak dengan adil tetapi menurut masa-Nya sendiri (2:3).
Dengan iman, Habakuk memilih untuk mempercayai Tuhan. Walaupun penderitaan tidak berakhir, nabi percaya bahawa Tuhan akan terus menjadi kekuatannya.
Kita juga turut terhibur bahawa Tuhan ialah kekuatan kita yang menolong kita bertahan dalam penderitaan. Dia juga akan memakai perjalanan hidup kita yang paling mencabar untuk memperdalam persekutuan kita dengan Kristus.