Semalam saya telah membeli tiket penerbangan untuk menghantar anak sulung saya ke universiti. Saya berasa hairan apabila papan kekunci pada komputer masih dapat berfungsi kerana ia dipenuhi dengan air mata saya semasa saya memilih penerbangannya. Saya telah menikmati kehidupan setiap hari selama lapan belas tahun bersamanya, justeru saya berasa sedih dengan pemergiannya. Namun saya tidak akan menghalang anak saya yang berpeluang untuk melanjutkan pelajaran, semata-mata kerana saya akan merinduinya. Inilah masa yang sesuai baginya untuk memulakan satu perjalanan baru dan menemukan kedewasaan dalam hidupnya, serta menerokai negara lain.

Apabila peranan saya sebagai penjaga anak saya hampir berakhir, satu peranan yang lain pula bermula. Tidak dapat dinafikan bahawa peranan ini akan membawa cabaran dan keseronokan yang baru ke dalam kehidupan saya. Salomo, raja ketiga Israel, menulis bahawa Tuhan menetapkan “segala sesuatu ada musimnya, dan bagi sesuatu apa pun di bawah kolong langit ada waktunya” (Pengkhutbah 3:1). Manusia tidak mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas segala peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita—sama ada peristiwa-peristiwa itu dianggap sebagai baik atau tidak. Tetapi Tuhan kita yang Maha Kuasa “menjadikan segala sesuatu indah pada waktunya” (ayat 11).

Pada masa kesakitan hati, kita boleh mempercayai bahawa Tuhan akan melakukan sesuatu yang baik melalui hal itu tepat pada waktunya. Keselesaan dan kegembiraan kita boleh sahaja datang dan pergi, tetapi “semua yang dilakukan oleh Allah itu kekal” (Pengkhutbah 3:14, ABB). Kita mungkin tidak menikmati saat-saat manis pada setiap musim—kadangkala juga mengalami masa kesusahan—namun Tuhan boleh melakukan sesuatu yang indah dalam segala perkara.