Untuk masa yang lama, Elizabeth telah bergelut dengan ketagihan dadah. Setelah dipulihkan, dia ingin membantu orang lain sebagai balasan. Jadi dia mula menulis banyak nota tanpa menyatakan namanya, kemudian menyebarkan nota-nota tersebut di seluruh bandarnya. Elizabeth menyisipkan nota-nota ini di bawah pengelap cermin depan kereta dan melekatkannya pada tiang-tiang di sekitar taman. Suatu ketika dahulu dia pernah mencari tanda-tanda harapan; sekarang dia meletakkan tanda-tanda itu untuk dicari oleh orang lain. Salah satu catatannya diakhiri dengan kata-kata ini: “Harapan dikirim dengan penuh kasih.”
Harapan dengan kasih—itulah yang diberikan oleh Yesus. Dia memberikan kita kasih-Nya pada setiap permulaan hari dan menguatkan kita dengan harapan itu. Kasih-Nya tidak dibahagikan kepada kita setitik demi setitik, tetapi mengalir keluar dari hati-Nya dengan bebas dan dituangkan dengan limpahnya ke atas kita: “Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita” (Roma 5:5). Dia ingin menggunakan penderitaan kita untuk membina ketabahan dan perwatakan serta membawakan kita satu kehidupan yang memuaskan dan penuh harapan (ayat 3-4). Walaupun kita menjauhi daripada-Nya, Dia tetap mengasihi kita (ayat 6-8).
Adakah anda sedang mencari tanda-tanda harapan? Tuhan memberi kita harapan yang penuh kasih, dengan mengundang kita membina hubungan dengan Dia. Harapan kita untuk memiliki kehidupan yang berkelimpahan adalah berdasarkan dalam kasih-Nya yang tidak pernah mengecewakan kita.