Dengan mengangkat kanak-kanak yang paling kecil, seorang pembantu rumah dengan cemas berlumba keluar dari rumah yang terbakar. Semasa dia berlari, dia memanggil Jacky yang berumur lima tahun dengan kuat.

Tetapi Jacky tidak mengikut dia. Di luar, seorang lelaki melihat lalu bertindak balas dengan cepat. Dia berdiri di atas bahu seorang kawan, dan menuju ke tingkap di tingkat atas, sambil menarik Jacky ke tempat yang selamat—sebelum bumbung runtuh. Susanna, ibu anak kecil itu berkata, “Jacky bagaikan puntung kayu yang ditarik dari api.” “Puntung kayu” itu ialah penginjil yang terkenal, John Wesley (1703-1791).

Susanna Wesley memetik daripada kata-kata Zakharia, seorang nabi yang memberikan pandangan yang bernilai tentang watak Tuhan. Dalam penglihatan nabi, dia membawa kita melihat bilik mahkamah yang Iblis berdiri di sebelah Imam Besar Yosua (Zakharia 3:1). Iblis menuduh Yosua, tetapi Tuhan mengherdik Iblis dan berkata, “Bukankah dia ini sisa kayu yang direnggut dari dalam api?” (Zakharia 3:2). Tuhan berfirman kepada Yosua, “Lihat, aku telah menjauhkan kesalahanmu, dan aku akan mengenakan pakaian pesta kepadamu” (Zakharia 3:4).

Kemudian Tuhan memberi Yosua cabaran ini—dan satu kesempatan: “Jika engkau hidup menurut jalan-jalan-Ku dan jika engkau memegang teguh kewajipanmu terhadap Aku, maka engkau akan menjadi hakim di Bait-Ku dan akan mengurus pelataran-Ku” (Zakharia 3:7).

Betapa indahnya gambaran hadiah yang kita terima daripada Tuhan melalui iman kita dalam Yesus! Dia menyelamatkan kita dari api, membersihkan kita, dan bekerja dalam kita ketika kita mengikut pimpinan Roh-Nya. Kita juga bagaikan sisa kayu Tuhan yang direnggut dari api.