Saya menghormati semangat keberanian ibu saudara saya, Mak Cik Gladys, walaupun semangat itu kadangkala sangat membimbangkan saya. Reaksi saya sedemikian adalah disebabkan oleh berita yang dikongsikannya melalui e-mel: “Saya menebang sepohon pokok walnut semalam.”

Anda mesti memahami bahawa ibu saudara saya yang menggunakan gergaji rantai itu berusia 67 tahun! Pokok itu telah tumbuh di belakang garajnya. Apabila akar pokok itu mengancam untuk memecahkan lantai konkrit, dia tahu pokok itu mesti dipotong. Tetapi dia memberitahu kami, “Saya selalu berdoa sebelum saya menangani kerja seperti itu.”

Semasa berkhidmat sebagai jururasa santapan untuk raja Persia semasa pembuangan Israel, Nehemia mendengar berita mengenai orang yang telah kembali ke Yerusalem. Sesetengah kerja perlu dilakukan. “Tembok Yerusalem telah dirobohkan dan pintu-pintu gerbangnya musnah dijilat api” (Nehemia 1:3). Tembok yang musnah itu menyebabkan mereka terdedah kepada serangan musuh. Nehemia berbelas kasihan terhadap umatnya dan mahu melakukan sesuatu. Tetapi Nehemia berdoa terlebih dahulu, terutamanya seorang raja baru telah menulis surat untuk menghentikan usaha-usaha pembinaan di Yerusalem (lihat Ezra 4). Nehemia berdoa untuk umatnya (Nehemia 1:5-10), kemudian meminta bantuan Tuhan sebelum memohon keizinan daripada raja itu untuk bertolak pulang ke Jerusalem (ayat 11).

Adakah doa merupakan respons pertama anda? Doa sentiasa merupakan cara yang terbaik bagi seseorang untuk menghadapi sebarang tugas atau percubaan dalam kehidupan.