Satu laporan berita memanggilnya “satu hari yang paling dahsyat untuk orang Kristian sepanjang beberapa dekad.” Dua serangan terhadap orang Kristian pada suatu hari Ahad, April 2017, telah mengoncangkan pemahaman kita. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan pertumpahan darah yang berlaku di rumah ibadat. Tetapi kita boleh mencari bantuan daripada orang lain yang turut memahami penderitaan seperti ini.

Kebanyakan penduduk Yerusalem berada dalam pembuangan atau telah dibunuh ketika Asaf menulis Mazmur 74. Dengan meluahkan kesedihan hatinya, dia menjelaskan kemusnahan Rumah Tuhan dalam tangan penyerang yang kejam. “Musuhmu mengganas di tempat perhimpunan-Mu,” kata Asaf (ayat 4). “Mereka telah membakar tempat suci-Mu; mereka telah mencemarkan tempat kediaman nama-Mu ke bumi” (ayat 7).

Namun pemazmur telah berdiri teguh walaupun berlakunya kejadian yang dahsyat itu—mendorong kita agar turut berbuat demikian. Asaf berkata, “Kerana Allah ialah Rajaku dari dahulu; menjalankan penyelamatan di tengah-tengah bumi” (ayat 12). Kebenaran ini membolehkan Asaf memuji Tuhan Yang Maha Kuasa walaupun penyelamatan-Nya seolah-olah tidak hadir pada saat itu. “Fikirkanlah perjanjian,” kata Asaf. “Janganlah biarkan orang yang tertindas pulang menanggung malu; biarlah orang yang miskin dan sesak memuji nama-Mu” (ayat 20-21).

Apabila keadilan dan belas kasihan seolah-olah tidak wujud, kasih dan kuasa Tuhan tidak pernah berkurangan. Kita dapat berkata dengan penuh keyakinan bersama Asaf, “Kerana Allah ialah Rajaku.”