Saya tidak menjangka bahawa saya dapat mempelajari satu pengajaran yang penting tentang hati Bapa syurgawi di klinik pergigian. Saya berada di sana bersama anak lelaki saya yang berumur 10 tahun. Dia mempunyai gigi kekal yang tumbuh di bawah gigi susu yang masih belum tertanggal. Gigi itu harus dicabut. Tiada cara yang lain.
Anak saya merayu kepada saya dengan air mata yang menggenang: “Ayah, tiadakah cara yang lain? Bolehkah kita cuma tunggu dan lihat? Tolong, ayah, saya tidak mahu gigi ini dicabut!” Kata-katanya menghancurkan hati saya, tetapi saya memberitahunya, “Anak, gigi ini mesti dicabut. Ayah memahami perasaan anda, tetapi tiada cara lain.” Saya pun memegang tangannya sewaktu dia bergerak geliang-geliut. Ketika doktor gigi mencabut gigi gerahamnya yang degil itu, saya turut menitiskan air mata. Saya tidak dapat menyingkirkan kesakitannya; perkara terbaik yang saya dapat tawarkan ialah bersama dengan dia dalam keadaan itu.
Pada saat itu, saya teringat akan Yesus di Taman Getsemani, meminta agar Bapa syurgawi-Nya melakukan sesuatu yang berbeza. Ini pasti perkara yang menghancurkan hati Bapa syurgawi ketika melihat Anak yang dikasihi berada dalam penderitaan yang sedemikian! Namun, tiada cara lain untuk menyelamatkan umat-Nya.
Dalam kehidupan kita, ada kalanya kita menghadapi saat yang tidak dapat dielakkan tetapi menyakitkan—seperti yang dialami oleh anak saya. Tetapi oleh sebab pekerjaan Yesus untuk kita melalui Roh-Nya, bahkan pada saat yang paling gelap dalam kehidupan kita, Bapa syurgawi yang penuh kasih selalu menyertai kita (Matius 28:20).