Pada tahun 2005, Collins memalsukan sebuah laporan yang mengakibatkan McGee dipenjarakan selama 4 tahun. McGee bersumpah untuk mencari Collins apabila dia keluar nanti dan “mencederakan dia.” McGee akhirnya dibebaskan, tetapi dia sudah kehilangan segala-galanya. Sementara itu, banyak laporan yang dipalsukan oleh Collins telah terbongkar dan dia kehilangan pekerjaan, serta turut dipenjarakan. Tetapi kedua-dua lelaki itu percaya kepada Kristus semasa di penjara.

Pada tahun 2015, kedua-dua mereka mendapati bahawa mereka telah bekerja bersama di syarikat berasaskan iman yang sama. Collins mengimbas kembali, “Saya [memberitahu McGee], ‘Secara jujur, saya tidak mempunyai apa-apa penjelasan, apa yang saya boleh lakukan adalah berkata minta maaf’ ” “Ini pun sahaja yang saya perlu dengar,” kata McGee, yang telah memaafkan Collins. Mereka dapat berdamai kerana kedua-duanya telah mengalami kasih dan pengampunan Tuhan yang tidak dapat dibandingkan, yang memberi kita kuasa untuk “maaf-memaafi … sebagaimana Tuhan telah mengampuni [kita], demikianlah kamu harus mengampuni sesama sendiri” (Kolose 3:13).

Sekarang kedua-duanya menjadi kawan baik. “Kami mempunyai misi bersama … untuk memberitahu dunia bahawa jika anda belum memohon maaf daripada seseorang, tanggalkan keangkuhan anda dan pergilah memohon maaf,” kata Collins. “Dan jika anda mendendam seseorang, lepaskanlah kepahitan itu kerana kepahitan itu ibarat meminum racun malah berharap ini boleh menyakiti mereka.”

Tuhan memanggil orang percaya hidup dalam damai dan kesatuan. Jika kita “ada sesuatu aduan terhadap yang lain,” kita boleh membawanya kepada Dia. Dia akan membantu kita berdamai dengan orang lain (Kolose 3:13-15; Filipi 4:6-7).