Rakan saya Chad menjadi gembala domba di Wyoming, Amerika Syarikat selama setahun. “Domba-domba itu sangat bodoh, dan akan terus makan apa sahaja yang ada di hadapan,” katanya kepada saya. “Walaupun domba-domba itu telah makan semua rumput yang di hadapan, binatang ini tidak akan berganjak untuk mencari tempat baru yang mempunyai rumput segar—domba mula makan tanah di situ selepas menghabiskan rumput!”
Kami ketawa, dan saya terus berfikir tentang betapa kerapnya Alkitab mengumpamakan manusia sebagai domba. Itulah sebabnya kita memerlukan seorang gembala! Oleh sebab domba terlalu bodoh, maka seseorang yang benar-benar mampu menggembala binatang ini diperlukan. Domba memerlukan gembala yang memperhatikan mereka. Semasa nabi Yehezkiel menulis kepada umat Tuhan yang berada dalam pembuangan, yang menjadi tawanan di Babilonia, dia membandingkan mereka dengan domba yang dipimpin oleh gembala-gembala yang tidak baik. Para pemimpin Israel sepatutnya menjaga kawanan dombanya, tetapi mereka telah mempergunakan umat Israel, memperlakukan mereka untuk memperoleh faedah (Yehezkiel 34:3), kemudian membiarkan mereka menjadi makanan bagi binatang-binatang liar (Yehezkiel 34:5).
Tetapi mereka bukannya tidak mempunyai harapan. Tuhan, Gembala yang Baik, berjanji untuk menyelamatkan mereka daripada pemimpin-pemimpin yang mempergunakan mereka. Dia berjanji untuk membawa mereka pulang, menempatkan mereka di padang rumput yang subur, dan memberi mereka rehat. Dia akan menyembuhkan yang tercedera dan mencari mereka yang hilang (ayat 11-16). Dia akan menghapuskan binatang liar, supaya kawanan-Nya akan berada dalam keadaan yang selamat (ayat 28).
Kawanan domba Tuhan memerlukan penjagaan dan bimbingan yang lembut. Berbahagialah kita kerana memiliki seorang Gembala yang sentiasa memimpin kita ke padang rumput yang baik! ( ayat 14).