Jiran saya, Tim mempunyai sebuah patung kecil di atas papan pemuka keretanya, “binatang liar” yang berdasarkan buku kegemaran kanak-kanak Where the Wild Things Are (Di Manakah Binatang-Binatang Liar), yang ditulis oleh Maurice Sendak.

Tidak lama dahulu, Tim memandu di belakang saya dengan semberono untuk mengikut kelajuan saya. Apabila kami tiba, saya bergurau kepada dia, “Adakah ‘binatang liar’ yang memandu kereta?”

Pada Ahad berikutnya saya terlupa nota khutbah saya di rumah. Saya “terbang” keluar dari gereja untuk mengambilnya dan terjumpa Tim dalam perjalanan. Ketika kami bertemu selepas itu, dia bergurau, “Adakah ‘binatang liar’ yang memandu kereta?” Kami ketawa, tetapi hal itu menyedarkan saya—saya sepatutnya mematuhi had kelajuan di jalan raya.

Apabila Alkitab menerangkan makna tentang hubungan dengan Tuhan, ini mendorong kita “[mempersembahkan] bahagian-bahagian [tubuh kita]” kepada-Nya (Roma 6:13). Respons Tim kepada saya pada hari itu merupakan teguran lembut daripada Tuhan agar saya tidak lagi melebihi had laju, kerana saya sepatutnya menyerahkan seluruh hidup saya kepada Tuhan disebabkan kasih saya kepada-Nya.

Soalan “siapakah yang memandu?” boleh diterapkan ke dalam segala perkara dalam kehidupan kita. Adakah kita membiarkan “binatang-binatang liar” yang berasal daripada sifat dosa lama kita mengawal kita—seperti kebimbangan, ketakutan, atau keinginan diri—atau adakah kita berserah penuh kepada Roh Tuhan yang penuh kasih dan rahmat, yang membantu kita bertumbuh?

Penyerahan diri sepenuhnya kepada Tuhan merupakan sesuatu yang baik untuk kita. Alkitab mengatakan bahawa kebijaksanaan Tuhan membawa kita ke “jalan keselesaan, dan segala lorongnya kesejahteraan” (Amsal 3:17). Lebih baik bagi kita mengikut pimpinan Tuhan.