Dr. William Wallace seorang pakar bedah yang melayani sebagai mubaligh di Wuzhou, China, pada tahun 1940-an ketika Jepun menyerang China. Wallace, sebagai ketua di Hospital Stout Memorial pada masa itu, mengarahkan hospital memuatkan peralatannya di tongkang dan terus berfungsi sebagai sebuah hospital mengapung di sungai, agar mengelakkan serangan daripada tentera darat.

Ketika dalam keadaan bahaya, Filipi 1:21—salah satu ayat kegemaran Wallace—mengingatkannya bahawa jika dia hidup, dia ingin melayani Penyelamat; tetapi jika dia mati, dia sudah memiliki janji tentang kehidupan kekal yang diberikan oleh Kristus. Ayat tersebut membawa makna yang istimewa apabila dia meninggal dunia sewaktu dipenjarakan atas tuduhan palsu pada tahun 1951.

Penulisan Paulus mencerminkan pengabdian yang mendalam yang kita dapat contohi sebagai pengikut Yesus; membolehkan kita menghadapi ujian bahkan bahaya demi Dia. Ini merupakan pengabdian yang dimampukan oleh Roh Kudus dan doa oleh orang yang paling rapat dengan kita (ayat 19). Ini juga merupakan satu janji. Meskipun kita menyerahkan diri kita untuk terus melayani dalam keadaan yang sukar, namun ia disertai dengan peringatan ini: apabila hidup dan tugas kita berakhir di sini, kita masih memiliki sukacita yang abadi bersama dengan Yesus yang menantikan kita.

Pada saat-saat menghadapi keadaan yang paling sukar dalam kehidupan kita, dengan hati yang diserahkan sepenuhnya untuk berjalan bersama dengan Kristus, dan dengan mata yang diarahkan sepenuhnya kepada janji abadi Tuhan, semoga hari-hari dan segala sesuatu yang kita lakukan akan menjadi berkat kepada orang lain dan disertakan kasih Tuhan.