Sigismund Goetze, seorang pelukis telah memberi kejutan pada era zaman Victoria England melalui lukisannya yang bertajuk “Despised and Rejected of Men” (Dihina dan Ditolak oleh Manusia). Dalam lukisan itu, dia menggambarkan Yesus yang menderita dan disalibkan, serta dikelilingi oleh generasi Goetze sendiri. Mereka amat mengutamakan kepentingan sendiri—perniagaan, percintaan, politik—mereka secara langsung tidak menyedari pengorbanan Penyelamat. Orang ramai yang berkumpul di situ bersikap dingin terhadap Kristus, misalnya kumpulan perusuh yang mengejek di kaki kayu salib Yesus, tanpa menyedari bahawa mereka telah terlepas sesuatu atau Peribadi yang penting.
Demikian juga dengan zaman kita, orang percaya dan orang yang belum percaya adalah serupa, mereka dengan mudah terganggu oleh hal-hal dan terlepas sesuatu yang abadi. Bagaimanakah para pengikut Yesus dapat melewati kabus gangguan ini dengan kebenaran kasih Tuhan yang agung? Kita boleh bermula dengan mengasihi satu sama lain sebagai anak-anak Tuhan. Yesus berkata, “Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku” (Yohanes 13:35).
Namun sifat saling mengasihi yang sejati tidak hanya berlaku antara orang percaya. Kita menyebarkan kasih itu dengan berkongsi Injil dengan harapan untuk menarik orang lain kepada Penyelamat. Seperti yang ditulis Paulus, “Kami ialah para duta Kristus” (2 Korintus 5:20).
Dengan cara ini, tubuh Kristus boleh mencerminkan dan mempamerkan kasih Tuhan, iaitu kasih yang amat kita perlukan untuk dinyatakan sesama sendiri dan kepada dunia kita. Dengan kuasa Roh-Nya, semoga sifat mengasihi sesama sendiri dan mengasihi dunia ini akan menjadi sebahagian daripada cara untuk melewati gangguan-gangguan yang menghalang kita melihat keajaiban kasih Tuhan melalui Yesus.