Dr. Paul Brand, mubaligh perintis dalam bidang perubatan pada abad ke-20 yang pergi ke India, telah melihat dengan matanya sendiri stigma yang didatangi penyakit kusta. Dalam satu janji temu, dia menyentuh seorang pesakit dan meyakinkan orang itu bahawa rawatan untuk penyakitnya memang tersedia. Lelaki itu mula menitiskan air mata. Pembantu doktor menjelaskan erti air mata lelaki itu kepada Dr. Brand, “Anda telah menyentuhnya, dan selama bertahun-tahun tiada seorang pun yang pernah melakukan hal seperti itu kepadanya. Itu ialah air mata kegembiraan.”
Pada awal pelayanan-Nya, Yesus dihampiri oleh seorang lelaki yang berpenyakit kusta. Penyakit tersebut merupakan label kuno untuk semua jenis penyakit kulit yang berjangkit. Oleh sebab penyakit itu, hukum-hukum Perjanjian Lama menghendaki lelaki tersebut perlu hidup terasing daripada masyarakatnya. Sekiranya lelaki yang sakit itu secara tidak sengaja mendapati dirinya dekat dengan orang yang sihat, maka dia mesti berteriak, “Najis! Najis!” supaya mereka dapat menjauhinya (Imamat 13:45-46). Akibatnya, lelaki itu mungkin telah berbulan-bulan atau bertahun-tahun tidak berhubung dengan orang.
Dengan penuh belas kasihan, Yesus menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh lelaki itu. Yesus memiliki kekuatan dan kuasa untuk menyembuhkan orang dengan hanya satu perkataan (Markus 2:11-12). Namun ketika Yesus menemui seorang lelaki dengan penyakit fizikalnya yang membuatkan dia berasa terpencil dan ditolak, sentuhan-Nya meyakinkan lelaki itu bahawa dia tidak bersendirian dan dia diterima.
Apabila Tuhan memberikan kita peluang, kita boleh menyebarkan rahmat dan menunjukkan belas kasihan dengan satu sentuhan lembut yang menyatakan hormat. Kuasa penyembuhan melalui sentuhan manusia yang sederhana adalah berkesan untuk mengingatkan orang yang terluka bahawa kita mengasihi mereka.