Apabila jambatan ke Techiman, Ghana, Afrika dihanyutkan air, para penghuni New Krobo yang berada di seberang Sungai Tano telah terkandas. Jemaah di gereja Pastor Samuel Appiah di Techiman turut terjejas kerana ramai anggota gereja yang tinggal di New Krobo—di bahagian sungai itu yang “salah”.

Di tengah-tengah krisis itu, Pastor Sam cuba memperluas rumah kanak-kanak milik gereja untuk menjaga lebih ramai anak yatim. Jadi dia berdoa. Kemudian gerejanya menyokong ibadat di seberang sungai di New Krobo. Tidak lama kemudian mereka membaptis orang percaya yang baru. Sebuah gereja baharu dibina. Bukan setakat itu sahaja, New Krobo kini mempunyai ruang untuk menjaga anak-anak yatim yang sedang menunggu pengaturan tempat tinggal mereka. Tuhan sedang mengendalikan kerja pemulihan-Nya dalam krisis tersebut.

Apabila rasul Paulus mendapati dirinya berada di sisi yang “salah” tentang kebebasan, dia tidak meratapi keadaannya. Dalam suratnya yang hebat kepada gereja di Filipi, dia menulis, “Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil” (Filipi 1:12). Paulus mencatatkan keadaan dipenjarakannya telah membawa “seluruh pengawal istana” untuk mengenal Kristus (ayat 13). Saudara seiman yang lain juga memperoleh keyakinan untuk berkongsi berita baik tentang Yesus (ayat 14).

Meskipun ada halangan, Pastor Sam dan rasul Paulus mendapati bahawa Tuhan menunjukkan mereka cara-cara yang baru untuk bekerja melalui krisis yang dihadapi oleh mereka. Apakah yang mungkin akan dilakukan oleh Tuhan melalui keadaan-keadaan kita yang mencabar pada hari ini?