Satu projek akademik yang besar sedang membebani saya, dan saya bimbang sama ada saya dapat menyelesaikannya pada masa yang ditentukan. Di tengah-tengah pemikiran saya yang cemas, saya menerima tiga helai nota dengan kata-kata dorongan daripada kawan-kawan yang menggalakkan saya. Setiap seorang berkata, “Tuhan telah mengingatkan saya tentang kamu pada hari ini ketika saya sedang berdoa.” Saya berasa terpegun dan terdorong bahawa mereka menghubungi saya tanpa mengetahui apa yang saya sedang melalui, dan saya percaya bahawa Tuhan telah memakai mereka sebagai utusan kasih-Nya.
Rasul Paulus menyedari kuasa doa ketika dia menulis kepada jemaah di Korintus. Dia berkata bahawa dia percaya Tuhan akan terus membebaskan mereka daripada bahaya kerana orang percaya telah “menolong kami dengan doa” (2 Korintus 1:10-11). Dan apabila Tuhan menjawab doa-doa mereka, Dia akan dimuliakan ketika mereka bersyukur kepada-Nya “atas kurnia yang diberikan kepada kami kerana doa ramai orang” (ayat 11).
Rakan-rakan saya dan para penyokong Paulus terlibat dalam pelayanan doa, yang dipanggil oleh Oswald Chambers sebagai “satu pelayanan yang tersembunyi, serta menghasilkan buah yang memuliakan Bapa.” Apabila kita memfokuskan fikiran dan hati kita pada Yesus, kita akan mendapati bahawa Dia sedang membentuk kita, termasuk cara kita berdoa. Dia memampukan kita turut mempersembahkan doa yang benar kepada rakan-rakan, ahli-ahli keluarga, dan orang yang tidak dikenali.
Adakah Tuhan menaruhkan seseorang dalam hati dan fikiran anda yang anda boleh doakan?