Selepas mengalami kecederaan tulang belakang yang menjadikan Marty lumpuh, dia mengambil keputusan untuk kembali ke sekolah dan mendapatkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA). Ibunya, Judy, membantu Marty mencapai matlamatnya. Ibunya duduk bersama dengan dia dalam setiap ceramah dan sesi belajar secara berkumpulan, menulis nota serta mengendalikan isu-isu teknologi. Ibunya juga membantu Marty naik ke pentas apabila dia menerima anugerah diplomanya. Apa yang mungkin tidak dapat dicapai telah pun menjadi kenyataan kerana ada bantuan yang konsisten dan praktikal diterima oleh Marty.
Yesus mengetahui bahawa para pengikutnya memerlukan sokongan yang serupa setelah Dia diangkat ke syurga. Dia memberitahu bahawa mereka akan mempunyai hubungan yang baru dengan Tuhan melalui Roh Kudus selepas keberangkatan-Nya. Roh Kudus akan menjadi penolong mereka pada setiap waktu—guru dan pemimpin yang tidak hanya akan hidup bersama dengan mereka malahan juga berada di dalam mereka (Yohanes 14:17,26).
Roh Kudus akan memberi pertolongan dalaman daripada Tuhan kepada murid-murid Yesus, yang akan membolehkan mereka bertahan dalam segala kesukaran ketika mereka mengkhabarkan berita baik. Pada saat-saat menghadapi kesukaran, Roh Kudus akan mengingatkan mereka tentang segala yang dikatakan oleh Yesus kepada mereka (Yohanes 14:26): Janganlah resah hatimu … Kasihilah sesama sendiri … Akulah kebangkitan dan hidup.
Adakah anda sedang berhadapan dengan sesuatu yang melebihi kekuatan dan keupayaan anda? Anda boleh bergantung kepada pertolongan Roh Kudus. Roh Tuhan yang bekerja dalam anda akan menyatakan kemuliaan kepada Tuhan yang layak diterima-Nya.