Pada musim panas yang lalu, saya dan suami saya melawat Fallingwater, sebuah rumah di luar bandar Pennsylvania yang direkakan oleh arkitek Frank Lloyd Wright pada tahun 1935. Saya tidak pernah melihat rumah seperti itu. Wright ingin membina sebuah rumah yang “tumbuh” secara semula jadi dari landskap itu, seolah-olah ia memang bertumbuh di sana—dan dia telah mencapai matlamatnya. Dia membina rumah itu di sekitar air terjun yang sedia ada, dan gayanya mencerminkan belebas-belebas batu yang berdekatan. Pemandu pelancong kami menjelaskan apa yang menjadikan pembinaan itu selamat: “Ini kerana seluruh teras tegak rumah itu terletak di atas batu-batu tongkol,” katanya.

Setelah mendengar apa yang dikatakan oleh pemandu pelancong itu, saya terfikirkan kata-kata Yesus kepada murid-murid-Nya. Semasa Khutbah di atas Bukit, Yesus memberitahu mereka bahawa apa yang diajar-Nya akan menjadi dasar yang sejati untuk kehidupan mereka. Sekiranya mereka mendengar kata-kata-Nya dan melakukannya, mereka akan dapat bertahan ketika menghadapi apa pun bentuk badai yang melanda kehidupan mereka. Sebaliknya, jika mereka telah mendengar tetapi tidak melakukannya, mereka akan menjadi seperti rumah yang dibina di atas pasir (Matius 7:24-27). Kemudian, Paulus mengulangi pemikiran ini dengan menulis bahawa Kristus ialah asas, dan kita harus membina rumah kita di atas dasar yang kukuh dan bertahan (1 Korintus 3:11).

Apabila kita mendengarkan kata-kata Yesus dan melakukannya, kita membina kehidupan kita di atas satu asas yang kukuh seperti batu. Mungkin hidup kita boleh kelihatan sedikit seperti Fallingwater, indah dan dibina untuk kekal di atas batu.