Tidak lama dahulu saya mengerjakan satu projek pembinaan di rumah anak lelaki saya yang sejauh tiga jam perjalanannya. Kerja itu mengambil masa yang lebih lama daripada yang dijangka, dan setiap pagi saya berdoa agar kami dapat menyiapkannya sebelum matahari terbenam. Tetapi masih ada banyak kerja yang perlu disiapkan.
Saya tertanya-tanya sebabnya. Apakah punca bagi segala penangguhan itu? Satu jawapan muncul pada keesokan harinya. Waktu itu telefon saya berdering, kedengaran seorang wanita yang tidak dikenali sedang bercakap dalam keadaan yang terdesak: “Anak perempuan anda tercedera dalam kemalangan. Anda perlu datang dengan serta-merta.”
Dia tinggal berhampiran dengan anak lelaki saya, jadi kita cuma mengambil masa 14 minit untuk tiba di tempatnya. Sekiranya saya berada di rumah sendiri pada ketika itu, saya perlu memandu selama tiga jam untuk pergi ke tempatnya. Saya mengikut ambulans ke hospital dan menenangkan anak saya sebelum pembedahan dilakukan. Ketika saya duduk dan memegang tangannya, saya menyedari bahawa jika projek yang saya sedang buat itu tidak tertangguh, maka saya tidak akan berada di situ ketika hal ini berlaku.
Masa kita dimiliki oleh Tuhan. Ini adalah pengalaman seorang wanita yang anaknya telah dibangkitkan daripada kematian oleh Tuhan melalui nabi Elisa (2 Raja-Raja 4:18-37). Dia meninggalkan negara itu disebabkan kebuluran dan kembali setelah beberapa tahun kemudian supaya merayu kepada raja untuk ladangnya. Pada masa yang kebetulan itu, raja itu sedang bercakap dengan Gehazi, pembantu nabi Elisa. “Sementara dia bercerita kepada raja bagaimana Elisa menghidupkan” anaknya, perempuan itu datang (8:5). Permintaannya dikabulkan.
Kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya, tetapi Tuhan dengan belas kasihan-Nya mampu menggunakan apa jua keadaan demi kebaikan kita. Semoga Tuhan memberi kita rahmat untuk berjalan bersama Dia dengan penuh harapan, menuju ke tempat yang telah ditentukan-Nya bagi kita pada hari ini.