“Saya mengasihimu!” ayah saya berteriak apabila saya menutup pintu kereta dan menuju ke sekolah. Masa itu saya pelajar darjah enam, dan selama berbulan-bulan kami memainkan senario yang sama setiap pagi. Setibanya kami di sekolah, ayah saya akan berkata, “Semoga anda ada hari yang menyenangkan! Saya mengasihimu!” Saya pula hanya berkata, “Bye” (Selamat jalan). Saya bukan marah dengannya atau mengabaikan dia. Saya cuma tenggelam dalam fikiran saya sehingga saya tidak memerhatikan kata-katanya. Walau bagaimanapun, kasih ayah saya tetap hadir.
Kasih Tuhan adalah seperti itu—dan lebih lagi. Kasih-Nya kekal selama-lamanya. Perkataan Ibrani yang menjelaskan kasih abadi seperti ini ialah hesed. Perkataan ini digunakan berulang-ulang kali dalam Perjanjian Lama dan dua puluh enam kali semata-mata dalam kitab Mazmur 136! Tiada perkataan moden boleh menangkap makna itu sepenuhnya; kita menterjemahkannya “kebaikan,” “kasih kurnia”, “belas kasihan,” atau “kesetiaan.” Hesed adalah kasih yang berdasarkan komitmen perjanjian; kasih yang setia dan jujur. Walaupun umat Tuhan berdosa, Dia tetap setia mengasihi mereka. Kasih dan kesetiaan adalah satu bahagian penting dalam sifat Tuhan (Keluaran 34:6).
Sewaktu saya seorang kanak-kanak, kadang-kadang saya menganggap biasa sahaja tentang kasih ayah saya. Kadang-kadang saya juga tidak menghayati kasih Bapa syurgawi saya sekarang. Saya terlupa untuk mendengar kata-kata Tuhan dan bertindak balas. Saya terlupa untuk bersyukur. Namun, saya tahu bahawa kasih Tuhan kepada saya tetap hadir—satu kebenaran yang memberikan asas yang pasti sepanjang hidup saya.